ARTIKEL

TAHNIAH… Rubiah menyampaikan sijil kepada salah seorang kanak-kanak Tabika Kemas.

Sentiasa berusaha sediakan prasarana terbaik Tabika, Taska Kemas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa berusaha untuk membina serta membaik pulih bangunan Tabika Kemas sebagai usaha menyediakan prasarana selesa kepada pelajar dan guru.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagaimanapun isu hak milik tanah menjadi kekangan kepada kementerian, di samping peruntukan yang terbatas.

“Kita menyedari banyak lagi premis Tabika Kemas yang menumpang dan menyewa.

Namun begitu KKWD sentiasa berusaha untuk mengurangkan jumlah berkenaan saban tahun,” katanya.

Ahli Parlimen Samarahan berkenaan berkata demikian pada Majlis Hari Apresiasi Tabika Kemas DUN Muara Tuang 2023/ 2024 di Auditorium INFRA Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Disebabkan itu kata Rubiah, peruntukan KKWD kepada Kemas ditambah setiap tahun supaya dapat memberikan kemudahan selesa kepada pelajar-pelajar di tabika berkenaan.

“Meskipun modul pembelajaran dipertingkatkan, tetapi kita masih agak ketinggalan dari sudut prasarana sehinggakan banyak lagi premis dalam keadaan yang belum memenuhi tuntutan sebenar pendidikan,” katanya.

Pada masa sama kata Rubiah, walaupun prasarana mereka agak serba kekurangan tetapi modul pendidikan Tabika Kemas merupakan salah satu terbaik di Malaysia sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa, Anugerah Emas Jenama Dipercayai Ketegori Prasekolah.

Tabika Kemas bukan saja menekankan aspek membaca, menulis dan mengira, tetapi kata Rubiah turut membentuk mentaliti anak-anak supaya bersifat dinamik dan mengasah pendidikan dari sudut akademik serta aspek sosial. 

“Disebabkan itu, modul pendidikan kita berbeza dengan tabika lain termasuk dari sudut pembangunan bakat. Tahun lepas kita memfokuskan pembangunan potensi bakat manakala tahun in mungkin dalam bidang sukan,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 217, 370 kanak-kanak direkodkan belajar di 10,671 tabika, manakala 10,440 belajar di 561 taska Kemas di seluruh negara setakat ini.

“Jumlah ini menunjukkannya merupakan tonggak utama dalam menggerakkan pendidikan awal kanak-kanak di samping, memperkasakan modul sedia ada ke tahap yang lebih baik dan berimpak tinggi.

“Kementerian juga telah memastikan semua lantikan guru sekurang-kurangnya mempunyai diploma,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 190 kanak-kanak terdiri daripada 16 Tabika Kemas di sekitar kawasan Muara Tuang diraikan. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU