Senyuman mereka, kepuasan buat kami

DARO: “Kami akan terus menghulur sumbangan setakat termampu.” Itu kata Pengerusi My Team Prihatin (MYTep), Sebuti Juni.

Sebuti berkata, sumbangan yang mereka hulur adalah ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan.

Pemberian itu katanya, hasil kutipan antara ahli selain sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk individu perseorangan.

“Yang penting kami ingin menolong dan membantu selagi ada kudrat. Malah, kami puas melihat senyuman pada wajah orang yang kami bantu,”katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

MYTep yang dianggotai belia Pulau Bruit terus aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan bagi membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan ini.

Sebuti menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Semop.

Setakat ini, mereka telah menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan di seluruh kampung di kawasan utara dan selatan Pulau Bruit.

Katanya, antara sumbangan berkenaan ialah kerusi roda, makanan asas, lampin pakai buang, selain pelbagai barangan keperluan lain.

“Terkini kami menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Semop, golongan kurang berkemampuan masing-masing di Penipah dan Kut.

Menurut Sebuti, sumbangan bertujuan meringankan beban mereka. Kita bergerak dari kampung ke kampung dan akan terus melaksanakan usaha murni ini dari semasa ke semasa.

MYTep yang ditubuhkan pada 1 Disember 2017 berperanan memantau dan membantu golongan sasar termasuk OKU bagi memastikan mereka berdaftar dan tidak terlepas daripada mendapat bantuan pihak yang berwajib.

“Saya bangga dengan komitmen padu keseluruhan ahli MYTep walaupun kami bergerak dalam jumlah yang kecil.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.

“Mudah-mudahan, apa yang kita usahakan ini dapat membantu menyampaikan hasrat kerajaan di samping menghulurkan sumbangan bakti untuk masyarakat,” jelasnya.

Aktif menghulurkan sumbangan

 

Pemberian ikhlas bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.