Seorang buruh binaan maut ditimpa tanah runtuh

MIRI: Seorang buruh binaan maut akibat ditimpa tanah runtuh ketika bertugas di jalan raya Simpang Riam Lambir berhampiran Rainforest, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian sekitar jam 5.30 petang.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Inggol Rebal, 55, disahkan maut sekitar sejam selepas menerima rawatan di Hospital Umum Miri (HUM).

“Saksi kejadian melaporkan mangsa telah turun ke dalam lubang berukuran hampir tiga meter yang telah digali oleh Jengkaut bagi membaiki paip rosak di bawah tanah.

“Sejurus kemudian tiba-tiba terdapat kawasan tanah runtuh lalu menimpa belakang mangsa menyebabkannya kesakitan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya, tanah terbabit dipercayai runtuh berikutan kawasan berair disebabkan paip air yang bocor.

Susulan itu, tambahnya, mangsa seterusnya dihantar ke HUM untuk mendapatkan rawatan ke bahagian kecemasan.

Dedahnya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan daripada pihak petugas hospital.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR).

Suara Sarawak