AHLI politik, biasanya kalau mahu menyindir lawan, ayatnya perlu disusun. Ada metafora, ada peribahasa, ada pantun, ada kiasan.
Sekarang? Dengan satu perkataan – “guru” – satu negara faham siapa yang dimaksudkan.
Begitulah situasi politik zaman media sosial.
Tidak perlu karangan 10 perenggan. Kadang-kadang cukup satu perkataan, satu video TikTok, satu emoji. Kemudian rakyat sambung sendiri.
Terbaharu, seorang ahli politik menggunakan perkataan “guru” dalam ucapan dasarnya pada satu perhimpunan.
“Cukup-cukuplah, guru,” katanya sinikal.
“Dengarlah suara kami, guru…”
Istilah tersebut mempunyai sejarahnya sendiri, dikaitkan dengan rakaman perbualan telefon yang tersebar pada 2021, yang ketika itu mencetuskan gambaran hubungan antara “guru” dengan “murid”.
Dalam politik mutakhir Malaysia, gelaran “guru” itu dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menariknya, Anwar tidak mengelak daripada istilah tersebut.
Dari India, melalui media sosial, beliau membalas:
“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi…”
Kemudian muncul istilah “anak didik”.
Dan penutupnya sangat 2026; “slayyy.”
SINDRAN
Di sini kita boleh bertanya; adakah politik kita sudah menjadi bahasa meme?
Dahulu politik mempunyai bahasa sendiri yang tersusun.
“Saudara-saudara sekalian…”
“Kerajaan akan mengambil langkah…”
“Pihak pembangkang tidak bertanggungjawab…”
Sekarang bahasanya berubah; guru, slay, walaun, walanon. Tebuk atap. Menteri formulai! Dan entah apa lagi yang akan lahir minggu depan.
Kita bukan lagi sekadar menyumpah politik kiri dan kanan. Kita sudah mempunyai politik istilah.
Satu perkataan boleh menjadi bendera kumpulan. Satu ayat boleh menjadi peluru. Satu video 15 saat boleh menjadi manifesto.
Dan satu komen TikTok kadangkadang sampai kepada rakyat lebih pantas daripada ucapan dasar seorang menteri.
“Guru” sebenarnya lebih tajam daripada makian. Yang menarik, guru bukanlah makian.
Secara literal, guru ialah orang yang mengajar. Tetapi dalam politik, perkataan yang baik pun boleh berubah menjadi sindiran.
Apabila seseorang berkata, “cukup-cukuplah, guru”, perkataan itu mempunyai beberapa lapisan makna.
Pertama, guru sebagai orang yang mengajar. Kedua, guru sebagai orang yang merasakan dirinya lebih tahu. Ketiga, guru sebagai orang yang sedang diberitahu oleh “anak murid”.
Itulah seni sindiran politik. Tidak perlu mencurah. Tidak perlu meninggikan suara.
Cukup tukarkan hubungan antara dua orang menjadi metafora.
Yang seorang menjadi guru. Yang seorang lagi menjadi anak murid.
Kemudian rakyat menjadi penonton di belakang kelas.
Tetapi Anwar, yang sudah lama berada dalam gelanggang politik, melakukan sesuatu yang menarik.
PERISAI
Hebatnya, Anwar tidak menolak gelaran itu, sebaliknya, beliau seolah-olah memakai ejekan tersebut sebagai perisai.
Ini bukan sesuatu yang baharu dalam politik dunia.
Margaret Thatcher, misalnya, menerima gelaran “Iron Lady” yang pada asalnya digunakan oleh media Soviet untuk menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang keras.
Namun, gelaran itu akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti politiknya. Ejekan bertukar menjadi jenama.
Donald Trump pula terkenal dengan penggunaan nama panggilan terhadap lawan politik seperti “Sleepy Joe” dan “Crooked Hillary”.
Nama sebenar masih ada, tetapi nama gelaran kadang-kadang lebih cepat melekat dalam ingatan orang ramai.
Politik moden memang begitu, siapa mengawal gelaran, kadang-kadang dia mengawal cerita.
Di Malaysia, kita juga sudah lama mahir dalam seni ini.
“Walaun” berkembangan sebagai istilah sinis media sosial untuk merujuk kepada penyokong royal. Kemudian muncul “walanon”, permainan kata yang dikaitkan dengan penyokong Anwar.
Politik kita akhirnya menghasilkan nama bukan sahaja untuk pemimpin, tetapi untuk penyokong mereka.
Masalahnya, apabila seseorang dilabel “walaun” atau “walanon”, kita tidak lagi perlu membaca hujahnya. Cukup kita faham, “oh, dia walaun”, “oh, dia walanon”. Habis cerita.
POPULAR
Kemudian datang pula istilah “ceplos” – istilah dari negara seberang yang membawa maksud bercakap terus terang, terlepas cakap atau blak-blakan tanpa banyak tapisan.
Ahli politik yang ceplos boleh menjadi popular kerana rakyat suka orang yang dianggap bercakap terus terang.
Tetapi politik juga mempunyai masalah dengan orang yang terlalu ceplos.
Hari ini dia ceplos, esok pegawai media terpaksa menjelaskan maksud sebenar. Dan lusa keluar kenyataan pembetulan.
Minggu depan rakyat sudah menghasilkan meme.
Begitulah kehidupan politik zaman TikTok. Hingga kemudian munculnya “slay”.
Slay, asalnya bahasa Internet dan budaya popular Inggeris. Ada yang menganggapnya bahasa tidak wajar kerana sejarahnya.
Ada pula yang berhujah, ia biasanya digunakan untuk memuji seseorang yang tampil yakin, bergaya atau berjaya melakukan sesuatu.
Kini “slay” masuk dalam komunikasi politik sebagai slang yang dalam bahasa Indonesia bermaksud “kren banget”.
Itu mungkin strategi komunikasi.
Tetapi ia juga menimbulkan persoalan; adakah politik semakin dekat dengan rakyat, atau semakin menjadi hanya sebuah persembahan?
Di Pulau Borneo, kita mungkin melihat semua itu dengan sedikit jarak.
Di Sarawak dan Sabah, politik masih berkisar pada tanah, autonomi, MA63, pembangunan luar bandar, jalan raya, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, minyak dan gas serta hubungan Putrajaya dengan wilayah.
Dulu seorang pemimpin perlu bercakap 20 minit untuk menyampaikan mesej. Sekarang satu kapsyen dihantar sudah boleh mencetuskan perang politik berhari-hari.
Namun jangan salah faham, tidak semua bahasa sinikal itu buruk.
Di mata Anwar, beliau santai menerima “ejekan guru” untuk menukarnya menjadi sebuah “penerimaan” bahawa beliau memang seorang guru sejati.
Kemudian banyak mantan muridnya muncul di media sosial mengaku beliau memang guru yang berwibawa.
Sebelum menjadi pemimpin politik, beliau sanggup menjadi guru untuk mengajar percuma murid miskin dan tercorot menjadi insan berjaya.
Dialah guru yang lima dekad lalu, menubuh serta mengajar di Yayasan Anda Akademi, selain menjadi tutor di UM dan UKM!
Pertama, guru sebagai orang yang mengajar. Kedua, guru sebagai orang yang merasakan dirinya lebih tahu. Ketiga, guru sebagai orang yang sedang diberitahu oleh “anak murid”.



