Seorang guru maut dipanah petir di Dalat

DALAT : Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bungan Besar, Batang Igan, disahkan meninggal dunia akibat dipanah petir dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chungat kejadian tersebut berlaku tadi tidak jauh dari Rumah Penguang semasa mangsa Alvin Chelen 32 sedang dalam perjalanan pulang menaiki bot dari sekolahnya menuju ke Sungai Kut Dalat.

“Mangsa dikatakan sedang mengemudi bot seorang diri di bahagian hadapan sementara dua orang lagi rakannya (saksi) yang merupakan seorang guru dan seorang kerani berada di belakangnya lebih kurang sejauh 25 meter.

“Difahamkan cuaca pada masa tersebut dalam keadaan hujan renyai,”katanya kepada Suara Sarawak.

Dedahnya lagi, menurut saksi yang berada di belakang bot mangsa, mereka melihat secara jelas secara tiba-tiba petir dari langit telah menyambar mangsa.

“Mangsa yang dikenali terus rebah ke belakang dan kedua-dua rakannya segera mematikan enjin bot lalu cuba menyelamatkan mangsa namun mangsa telah meninggal dunia.

“Seterusnya, dua rakan mangsa menunda bot mangsa ke jeti Sungai Kut yang terletak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian dan terus menghubungi pihak ambulans dan Polis,” tambahnya

Pihak polis tiba di jeti berkenaan 15 minit kemudian dan membawa mangsa ke Hospital Dalat.

Doktor mengesahkan mangsa cedera serius dibahagian kepala akibat dipanah petir, dan terdapat kesan rambut terbakar pada luka kepala dan pada baju mangsa turut mengalami kesan terbakar.

Mayat mangsa seterusnya diserah pada keluarga setelah doktor selesai menjalankan siasatan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian aelepas dipanah petir