KUCHING: Seorang lagi disyaki dijangkiti virus rabies yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut didedahkan mengenai mangsa terbaru itu.
Kata Uggah, agak menyedihkan apabila masih terdapat kes manusia positif jangkitan rabies.
“Kita memandang perkara ini secara serius terutamanya berhubung dengan operasi antirabies yang sedang dan akan dijalankan.
“Meskipun langkah rawatan selepas digigit atau dicakar anjing disiarkan melalui media massa, media sosial, poster dan lain-lain, namun, masih terdapat segelintir pihak mengabaikannya,” tegasnya.
Tambahnya, rawatan amat mudah apabila perlu mencuci luka gigitan atau cakaran menggunakan air mengalir dan sabun selama 10 hingga 15 minit.
“Kemudian, pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, rabies di Sarawak direkodkan 18 kes dengan 17 kematian sejak wabak diumumkan pada 1 Julai 2017.
Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat, iaitu seorang kanak-kanak yang kini berumur sembilan tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.
Hadir sama pada mesyuarat terbabit ialah Timbalan Setiausaha Negeri, Datuk Ik Pahon, Pengarah Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Negeri , Datuk Dr. Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Adrian Susin Ambud dan wakil Pesuruhjaya Polis Negeri, Superintendent Ang Siaw Aun.
Gambar
MESYUARAT … Kelihatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama yang lain pada mesyuarat JPBN di Kuching, hari ini.