Seorang lelaki melecur akibat letupan tong gas bocor

KUCHING: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan dan kaki akibat letupan daripada sebuah tong gas bocor di Taman Sung Hong, Jalan Tun Razak, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan insiden sekitar jam 11.32 pagi di lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 18 anggota pasukan daripada BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan segera dikerahkan ke kawasan berkenaan bagi membantu operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi mendapati sebuah tong gas jenis oksigen yang mengalami kebocoran telah meletup.

“Akibat daripada insiden tersebut, seorang mangsa lelaki berusia 45 tahun telah melecur di bahagian kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa yang telah diberikan rawatan awal seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjutan.

Katanya, tindakan menutup kebocoran pada tong berkenaan selesai dilakukan sekitar jam 11.46 pagi.

Sementara itu, dedah beliau lagi insiden bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemusnahan terhadap struktur.

Ujarnya, operasi seterusnya ditamatkan setelah keadaan kembali pulih kira-kira pada jam 12.08 tengah hari.

Suara Sarawak