ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 3 oleh anggota polis hari ini.

Seorang lelaki sanggup penggal kepala kucing untuk ugut bunuh ibu sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang lelaki tempatan kerana sengaja memenggal kepala kucing untuk mengugut bunuh ibunya.

Jefrie Drahman, 33, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja memenggal kepala seekor kucing betina menggunakan sebilah pisau pemotong daging tanpa alasan munasabah.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah bunuh terhadap ibunya berusia 70 tahun.

Jefrie melakukan kedua-dua kesalahan itu di kediaman mereka di Jalan Tanjong Durian, Kampung Keranji, Bau, sekitar jam 12.40 tengah hari, 15 Mei lalu.

Musli menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara tiga tahun bagi pertuduhan kedua terhadap seorang tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap 15 Mei lepas.

Berdasarkan fakta kes, Jefrie bertindak memenggal kepala kucing milik bapa saudaranya kerana tidak berpuas hati dengan ibunya yang menyuruh dia mencari pekerjaan.

Selain itu, dia juga menunjukkan kepala kucing dipenggal kepada ibunya sambil mengeluarkan kata-kata hendak membunuh pengadu (ibu) seperti kucing tersebut.

Bimbang akan keselamatan diri, ibu tertuduh membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Difahamkan, semasa saringan awal air kencing tertuduh dipercayai positif dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Sarjan Mohammad Asfia Ilias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU