Seorang maut, cedera parah Myvi bertembung lori di Jalan Bintulu-Miri

BINTULU: Seorang maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan masing-masing Perodua MyVi dan lori di Batu 16, Jalan Bintulu – Miri, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua MyVi dinaiki dua penumpang melanggar lori yang sedang sama-sama bergerak di lorong kiri dari arah Bintulu menghala ke Miri.

Kejadian 7.50 malam itu, katanya, mengakibatkan penumpang Perodua MyVi, Layang Anak Munang, 47, maut di tempat kejadian, manakala pemandu, Lian Anak Munang, 39, parah dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

Pemandu lori yang dikenal pasti sebagai Panting Anak Jugah, 47, bagaimanapun,tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zulkipli berkata, punca sebenar masih dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak