Seorang maut, dua kenderaan bertembung

BINTANGOR: Seorang maut manakala dua parah apabila pacuan empat roda Toyota Hilux yang menaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki berhampiran Simpang Jalan Kanowit Julau Durin (KJD) di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa meninggal dunia dikenalpasti sebagai Bruin Sidu, 41, manakala, dua lagi termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 32 dan 66 tahun cedera parah.

Pada masa masa yang sama katanya, pemandu lori tangki yang berusia 30 tahun bersama seorang kelindan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sepasukan anggota Bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada 6.52 petang. Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati ketiga mangsa masih tersepit di dalam Hilux terbabit.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan menyelamat. Mangsa yang cedera kemudiannya dikejar ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan.

“Bagaimanapun seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dan mayatnya diserahkan kepada pihak Polis sebagai tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lori terbabit dalam perjalanan menghala ke Sibu manakala, Hilux dari arah yang bertentangan.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dalam siasatan pihak Polis,” katanya.

Sejurus selesai operasi ujarnya, Bomba melakukan kerja pembersihan jalan bagi memastikan laluan berkenaan selamat untuk dilalui oleh kenderaan lain.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Bintangor, semalam. – Foto Ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor