Seorang maut, motosikal terlanggar penghadang jalan di Batu 13

KUCHING: Seorang pemandu lori berusia 37 tahun maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di bulatan Batu 13, Jalan Kuching Serian pagi tadi.

Mangsa, Zamri Sabar, seorang penduduk di Taman Sri Arjuna Jalan Penrinsen maut di tempat kejadian akibat daripada kemalangan kendiri sekitar jam 2.15 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa ketika kejadian bergerak dari arah Serian menuju ke Kuching.

“Hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di bulatan tersebut.

“Mangsa seterusnya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat terpelanting ketika rempuhan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Alexson berkata, beberapa tindakan susulan turut dilakukan bagi mendapatkan maklumat tambahan kes.

“Mayat mangsa telah dihantar ke HUS manakala kenderaan terbabit telah dihantar ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bagi pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia,” dedahnya.

Ujarnya, kes masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.