Seorang maut, rakan parah motosikal rempuh lori parkir

SELANGAU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 80, Jalan Sibu-Bintulu, awal pagi semalam.

Motosikal yang ditunggangi mangsa dikatakan melanggar sebuah lori treler dipakirkan tepi jalan.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 3.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Thomas Liam, 22, disahkan mati di tempat kejadian manakala Augustine Roy cedera parah dan dikejar ke Hospital Sibu.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau mengesahkan motosikal dinaiki dua rakan karib itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rumah Imu, Sungai Sepiring di Kilometer 60, Jalan Sibu-Bintulu Selangau.

“Thomas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Augustine cedera parah dan masih hidup,” katanya dihubungi sebentar tadi.

Hasil pemeriksaan awal kata Jimmy, motosikal mangsa melanggar sebuah treler diparkirkan di sebelah kiri jalan menuju ke arah Bintulu.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal maut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala pemboncengnya cedera parah.

“Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Jimmy lagi.