MIRI: Seorang parah, manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Bandar Baru Permy Jaya, di sini, semalam.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Suzuki milik warga Brunei.
“Kami menerima panggilan pada jam 11.23 malam dan mengarahkan Pusat Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.
“PKO mendapati empat orang mangsa menaiki kenderaan tersebut, melibatkan seorang perempuan dan tiga lelaki.
“Dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam manakala dua masih terperangkap di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan penyelamat kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Seorang mangsa perempuan dalam keadaan parah dan tiga lelaki mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
