Seorang pesakit Covid-19 baharu dirawat, Miri masih kekal zon hijau

MIRI: Seorang pesakit Covid-19 baharu kini dirawat di Hospital Miri di sini, namun status Miri masih kekal sebagai ‘zon hijau’ susulan kes itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Demikian kata Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin selaku Menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Miri hari ini.

Menurutnya, warga tempatan terbabit pulang dari luar negara, Tunisia melalui KLIA pada 20 Jun dan tiba di Lapangan Terbang Miri pada 21 Jun.

Namun, tambah beliau, kes tersebut tidak termasuk dalam laporan statistik kes Miri dan negeri kerana ia dikesan di pintu masuk KLIA atau Selangor.

“Individu tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda ketika tiba tetapi keputusan ujian PCR menunjukkan positif Covid-19.

“Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Miri untuk pemerhatian selanjutnya,” katanya.

Ujar Kim Shin, ahli keluarga dan kontak rapat pesakit dalam penerbangan yang sama juga telah dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Miri dan mereka telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah.

Suara Sarawak