BAU: Seorang petani cedera di kepala dan pendarahan di telinga akibat kemalangan jalan raya di Jalan Bau-Serikin, di sini, semalam.

Mangsa seorang lelaki berusia 41 tahun itu difahamkan dari rumah kebunnya di kampung Bogag menuju ke Serikin dengan menunggang motosikal seorang diri.
Kejadian yang dilaporkan sekitar jam 5.44 petang itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Bau Tawang Linggem.
Katanya sepasukan anggota daripada Pasukan Alpha BBP Bau telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat mangsa.
“Setibanya di lokasi pasukan operasi melaporkan mangsa dikenali sebagai Nordin Lidie ditemui dalam keadaan cedera di bahagian kepala dan pendarahan di telinga.
“Pihak Bomba seterusnya bertindak memasang alat ‘cervical collar’ serta membuat rawatan awal sebelum membawa mangsa ke Hospital Bau untuk tindakan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian disyaki berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan.