Seorang polis rondaan dirempuh Mercedez Benz

KUCHING: Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan Covid-19 cedera di bahagian tangan dan kaki kanan akibat dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Rock Kuching, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dengan sebuah motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) URB sekitar jam 1.15 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian motokar itu dipandu dari arah Jalan Laksamana Cheng Ho menghala ke arah pusat bandaraya Kuching oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca setelah kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan memasuki lorong bertentangan.

“Kenderaan suspek seterusnya terlanggar motosikal mangsa yang datang dari arah pusat bandaraya Kuching semasa dalam tugas rondaan Covid-19,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat daripada kejadian pemandu mengalami cedera ringan di tangan kanan manakala mangsa cedera di bahagian kaki dan tangan sebelah kanan.

Jelas beliau, mangsa telah pun dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan rawatan lanjut.

Susulan itu, katanya, kedua-dua kenderaan terbabit kini ditahan untuk pemeriksaan lanjut dijalnkan.

Dedahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.