LUNDU: Seorang tekong darat ditahan ketika disyaki cuba menyeludup keluar lima pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan tikus berhampiran pekan Biawak sekitar jam 10.30 pagi, semalam.
Kesemua individu terbabit berusia lingkungan 24 hingga 57 tahun ditahan oleh pasukan petugas sempadan ketika berada di dalam sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan.
Mengesahkan kejadian Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata, pati tersebut terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.
“Setelah diperiksa, didapati kesemua individu warga negara Indonesia tersebut hanya memiliki dokumen yang telah tamat tempoh dan memberi alasan hendak balik ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, rampasan barangan kes turut dilakukan, iaitu sebuah van, lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM 8,020 dan Rupiah RP21,000.00.
Susulan itu katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) dan juga Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.