Seorang warganegara tempatan dan enam warganegara Indonesia ditahan cuba masuk jalan tikus

LUNDU: Seorang lelaki warganegara tempatan bersama enam warganegara Indonesia ditahan selepas cuba memasuki Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan berdekatan jalan Kampung Raso, di sini.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, sekitar jam 8.10 malam tadi, pasukan PGA menahan dan memeriksa sebuah kenderaan MPV jenis Toyota Avanza yang datang dari arah Indonesia melalui jalan tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki warganegara tempatan yang merupakan pemandu kenderaan itu membawa bersama lima orang lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia berada di dalam kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada mereka mempunyai dokumen yang sah manakala selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran masuk yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mancha menambah, PGA turut merampas barangan dengan anggaran bernilai RM20,800.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak IPD Lundu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kesalahan ini dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” jelasnya.

Beliau berkata, Briged Sarawak PGA akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan khususnya jalan-jalan tikus dan jalan sempadan yang tidak diwartakan yang aktif dengan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

DITAHAN… Kesemua suspek yang cuba memasuki Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan berdekatan jalan Kampung Raso ditahan oleh PGA, malam tadi.