Sepasang kekasih dicekup miliki dadah

KUCHING: Sepasang kekasih berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas ditahan kerana memiliki 31.66 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4,775.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Sahar Abd Latif berkata mereka ditahan dalam Operasi Sulit yang dijalankan pasukan JSJN IPK Sarawak sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Katanya semasa serbuan, kedua-dua suspek ditahan di dalam sebuah bilik sewa di Jalan Kung Phin di sini.

“Hasil pemeriksaan oleh pasukan serbuan ke atas bilik itu telah menjumpai 13 paket
plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata suspek lelaki berusia 52 tahun merupakan seorang duda berasal dari Taman Mei Lee, Jalan Stakan manakala teman wanitanya berusia 23 tahun dari Jalan Kuap Batu 10.

Dadah yang dirampas dari sepasang kekasih hasil serbuan pasukan JSJN IPK Sarawak ke atas sebuah bilik sewa di Jalan Kung Phin di Kuching semalam.

Beliau menambah kedua-dua suspek yang menganggur juga didapati positif dadah jenis syabu dan amfetamin.

Katanya mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sahar berkata kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan dibawa
ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padawan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, suspek lelaki kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan manakala teman wanitanya di lokap Balai Polis Beratok.

Mereka kini dalam proses permohonan reman dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun termasuk tidak kurang daripada 10 sebatan.