Sepasang kekasih dicekup peras ugut pelajar kolej

PADAWAN: Sepasang kekasih dipercayai dalang kes peras ugut melibatkan seorang mangsa daripada Kolej kemahiran Batu Kawa ditahan di hadapan sebuah rumah berhampiran MJC Batu kawa, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, suspek ditahan bersama seorang wanita berusia 22 tahun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Padawan di lokasi sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, suspek utama yang dikenali sebagai Joe Cicak, 25, dikatakan telah menemani mangsa berjumpa dengan Mike bagi menyelesaikan masalah perselisihan faham pada 22 Julai yang lalu.

Ekoran kejadian, suspek telah meminta telefon bimbit milik mangsa dan teman wanitanya sebagai cagaran berikutan mangsa gagal membayar wang berjumlah RM1,838 sebagai balasannya menyelesaikan kes berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek selalu mengugut meminta wang daripada mangsa apabila bersemuka serta menjadikan pelajar di kolej berkenaan sebagai mangsa ugut.

“Ketika ditahan, kedua-duanya tidak mengaku terlibat dalam kes berkenaan namun pemeriksaan lanjut menemui telefon bimbit yang digunakan suspek lelaki untuk menghubungi mangsa,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, hasil semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai rekod masalah jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan manakala suspek wanita turut mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Tambahnya, kedua-dua suspek akan direman pada 14 Ogos 2020 untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak