‘Seperti menunggu giliran untuk dijangkiti’ – pelajar Indonesia di Wuhan

WUHAN: Warga asing yang terkepung di bandar dilanda wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China cemas dengan sebilangan mereka terkandas di rumah, kehabisan makanan dan terdesak untuk meninggalkan negara itu, ketika kerajaan berusaha keras membuat rancangan pemindahan.

Pihak berkuasa mengenakan larangan perjalanan masuk dan keluar dari wilayah Hubei dan ibu kotanya Wuhan, lokasi pertama koronavirus yang dikesan sebelum ia merebak ke negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Australia. Beberapa bandar besar lain di China turut memperkenalkan sekatan perjalanan bagi membendung penularan penyakit itu, yang mengorbankan 81 orang dan menjangkiti lebih 2,700 di seluruh negara.

“Sepanjang minggu lalu kami tidak dapat keluar dan membeli sebarang makanan untuk dimakan,” kata Mashal Jamalzai, seorang pelajar sains politik dari Afghanistan di Central China Normal University. Dia memberitahu AFP, dia dan rakan sekelasnya terpaksa memakan biskut untuk terus hidup, dan permintaan untuk bantuan yang masih tidak mendapat jawapan daripada pihak kedutaannya.

“Kami mahu dipindahkan secepat mungkin, kerana sama ada virus, kelaparan atau ketakutan akan membunuh kami,” kata Jamalzai. Beribu-ribu pelajar asing dan warga antarabangsa lain tinggal di Wuhan, hab pengangkutan yang kebiasaannya sibuk di tengah China menjadi pusat bagi industri keluli dan auto yang besar. Tetapi dengan penutupan sekolah, hospital dan pejabat awam serta tiada pengangkutan keluar dan masuk ke bandar itu, pelajar Universiti Hubei, Siti Mawaddah berkata, bandar itu kini kelihatan seperti sebuah ‘kota hantu’.

“Situasi di Wuhan sekarang sangat tegang dan membimbangkan,” kata warga Indonesia yang berusia 25 tahun itu kepada AFP. Tambahnya, situasi sedemikian memberi kesan psikologi terhadap dia dan rakan sekelasnya. “Jika kami tinggal di Wuhan, seolah-olah kita hanya menunggu giliran untuk dijangkiti,” katanya.

Suasana bandar Wuhan kelihatan seperti sebuah ‘kota hantu’. Foto AFP

Mawaddah berkata, dia ada mendengar rancangan Kerajaan AS untuk memindahkan kakitangan konsulat dan beberapa rakyat Amerika yang tinggal di bandar itu, dan berharap kerajaannya sendiri dapat melakukan perkara yang sama. Jabatan Negara AS menghantar sebuah pesawat untuk memindahkan kakitangan konsulatnya dan membawa mereka ke San Francisco, tetapi memberi amaran ruang terhad bagi anggaran 1,000 warga Amerika yang tinggal di Wuhan.

“Jika keupayaan tidak mencukupi untuk mengangkut semua orang yang menyatakan hasrat untuk keluar dari bandar itu, keutamaan akan diberikan kepada individu berrisiko tinggi akibat jangkitan koronavirus,” kata kenyataan itu.

Suara Sarawak