Sepuluh individu di tahan dalam premis hiburan, langgar SOP

KUCHING: Sepuluh individu termasuk pelanggan, deejay serta pelayan sebuah pusat hiburan di Jalan Wan Alwi di sini di kompaun kerana berada dalam premis yang beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superinten Merbin Lisa berkata kesemuanya ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Jenayah Narkotik dan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 10.30 malam semalam.

Katanya mereka terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 45 tahun (termasuk deejay dan pelayan pusat hiburan) serta tiga wanita dan seorang lelaki warga asing yang berusia antara 36 hingga 43 tahun.

“Semasa pemeriksaan dijalankan di dalam premis terbabit, terdapat pelanggan yang sedang berhibur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merbin berkata premis terbabit mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila beroperasi melebihi had masa.

Beliau berkata bagi warga tempatan, mereka dikehendaki menjelaskan kompaun di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari.

Manakala, katanya bagi warga asing terbabit, mereka ditahan bagi semakan dokumen diri dan seterusnya dirujuk ke Pejabat Pendakwaan untuk dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Suara Sarawak