Sepuluh penghuni rumah cemas rumah runtuh jam tiga pagi

MUKAH: Sepuluh orang ahli keluarga sempat menyelamatkan diri setelah rumah yang didiami rebah menyembah bumi dalam kejadian pada awal jam 3 pagi tadi.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, pihak bomba Mukah telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 pagi dan sebuah EMRS dengan kekuatan tiga Anggota yang diketuai oleh PBK II Nasir Drahman bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, komander operasi mendapati terdapat sebuah rumah telah runtuh.

“Kejadian tersebut juga telah mengakibatkan 80 peratus struktur rumah tersebut terjejas musnah,” jelas kenyataan tersebut

Pasukan bomba turut membuat permantauan bagi memastikan keadaan sekitar rumah selamat dan pihak Sesco juga terlibat bagi memastikan tiada masalah kepada bekalan elektrik berlaku.

Difahamkan juga sebahagian tiang rumah berkenaan juga telah tenggelam ke dalam tanah akibat tanah mendap di kawasan tersebut.

Operasi oleh pihak bomba tamat sepenuhnya pada jam 4.50 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua ahli keluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.

Suara Sarawak