KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada pakar undang-undang untuk menentukan terma wilayah yang kini masih dibincangkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dalam lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu Sarawak bukan seperti negeri-negeri lain.
“Perdana Menteri hanya menyatakan Sarawak adalah sebuah wilayah, itu sahaja.
“Bagaimanapun sama ada kita menggunakannya (terma wilayah) atau tidak ia bergantung kepada perbicangan semasa mengenai MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah di Balai Ringin, semalam.
Tambah Abang Johari terma wilayah untuk Sarawak adalah cadangan daripada Perdana Menteri.
“Orang mahu bagi tahu kita wilayah, kita terima sahaja.
“Kita minta supaya Perlembagaan bagi Artikel 160 (2) dipinda mengikut MA63 dan ia harus digabungkan,” tegasnya.
Jelas Abang Johari, kemudian dapat dikemukakan dalam Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu Malaysia terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Kita telah menimbulkan peruntukan kita dalam Perlembagaan iaitu Artikel 160 (2), dari sudut tafsiran Persekutuan.
“Dalam peruntukan sedia ada ia merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
“Dalam MA63, pembentukan Malaysia adalah terdiri drpd tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum membuat keputusan untuk keluar daripada Malaysia,” ujarnya.
Hadir sama Speaker Dun Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Adun Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan.