Serah sendiri beg berisi dadah kepada polis

BAU: Seorang penganggur bertindak menyerahkan sebuah beg berisi dadah selepas ditahan polis berhampiran sebuah rumah di Kampung Bobak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek, 28, pada awalnya dikesan di lokasi sekitar jam 11.30 pagi dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah (BSJND) Bau.

Sejurus kemudian pasukan operasi membuat pemeriksaan terhadapnya sebelum suspek bertindak menghulurkan sebuah beg kecil berwarna hitam kepada salah seorang petugas.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg berkenaan telah menemui sepeket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu seberat 1 gram dan satu keranjang timah berisi tiga biji pil Eramin 5,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya suspek bersama barangan terbabit dibawa ke pejabat BSJND Bau untuk tindakan lanjut.

SERAH…Beg hitam kecil berisi dadah yang dirampas

 

TAHAN…Suspek lelaki warga tempatan berusia 28 tahun

Suara Sarawak