Seramai 12 Pati cuba masuk ke Sarawak melalui jalan tikus

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan antara 12 pendatang asing tanpa izin diusir setelah cuba memasuki Sarawak menerusi laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, cubaan kesemua Pati itu dikesan oleh pasukan rondaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada empat kawasan kejadian berasingan di jalan tikus sekitar Kandaie dan Tebedu.

Menurutnya, tindakan pengusiran pertama, kedua dan ketiga membabitkan seramai tujuh Pati di kawasan Kandaie.

“kejadian pertama sekitar jam 1.25 petang, pasukan rondaan menemui tiga Pati termasuk seorang kanak-kanak perempuan berasal dari Saparan Indonesia sedang berjalan kaki di lorong tikus.

“Manakala kejadian kedua dan ketiga masing-masing sekitar jam 2.30 dan 3.05 petang turut mengusir empat Pati yang berasal dari Karangan Indonesia. Hasil soal siasat suspek mengaku ingin memasuki Lundu untuk bekerja.

Pasangan bersama seorang kanak-kanak perempuan ditahan

“Selebihnya lima lagi Pati terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita ditahan oleh pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) di sektor Tebedu sekitar jam 11 malam dan kesemua mereka yang mengaku hendak ke Sibu untuk bekerja tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah ketika disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, kesemua tindakan pengusiran itu masing-masing telah dibuat laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tebedu dan juga Lundu.

Tegasnya, keempat-empat kejadian berasingan itu berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja, sekali gus membuktikan ATM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba membolosi sempadan negara.

Ujarnya, Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) di bawah pemerintahan Markas 1 Divisyen bersama Pasukan-Pasukan Khas (NTF) melalui inisiaif Op Benteng terus komited dalam mengekang jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak sepanjang pandemic Covid-19 masih berleluasa.

dua lelaki warga asing yang mengaku ingin ke Lundu untuk bekerja telah diusir balik semula ke negara jiran