KUCHING: Seramai 69 orang pelajar dari pelbagai sekolah sekitar Sarawak menerima Anugerah Pelajar Islam Cemerlang & Gemilang 2022 melibatkan tiga kategori berlainan.
Acara anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) ini bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada pelajar Islam yang cemerlang dalam penilaian peperiksaan awam di negeri ini.
Antaranya termasuk kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berlangsung pada tahun 2022.
Penyampaian anugerah kepada anak-anak melayu yang cemerlang ini turut disaksikan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki.
Menurutnya, penganugerahan yang diberikan kepada pelajar cemerlang mampu menjadi perangsang kepada anak muda untuk terus maju dan tekun dalam bidang pendidikan.
“Malah, saya sendiri juga merupakan penerima anugerah PKMS sehingga mendorong diri ini untuk terus maju ke hadapan sehingga kini.
“Saya bukan hendak memuji diri dengan kejayaan yang diperoleh, namun pengalaman ini boleh dijadikan perkongsian kepada pelajar semua untuk lebih semangat meraih kejayaan.
“Teruskan berusaha dan gunakan peluang yang diberikan ini sebagai platform mencapai kejayaan. Tiada yang mustahil untuk dikecapi dan selamat berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Melayu/Islam Cemerlang 2023 di Hotel Harbour View, di sini, hari ini.
