Serang bapa dengan senduk, pisau

LIMBANG: Seorang lelaki direman selepas dipercayai mencederakan bapanya dengan menggunakan senduk dan pisau di Kampung Tedungan, di sini baru-baru ini.

Majistret Mohamad Hafizi Abdul Halim mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang berusia 25 tahun, selama tiga hari sehingga 20 April.

Suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan. Terdahulu, suspek telah ditahan polis pada 16 April lalu kerana menyerang bapanya yang berusia 57 tahun dengan sebilah pisau.

Ketika kejadian jam 5 petang di rumah keluarganya, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah turut bertindak memukul bapanya dengan senduk sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian pinggang dan peha kanan.

Suspek juga mengugut membunuh bapanya. Suspek bertindak di luar batasan setelah rimas dengan kehadiran bapanya di dapur, ketika dia memasak.

Suara Sarawak