ARTIKEL

MENGEJUTKAN… Bangunan Crocus City Hall terbakar ekoran serangan berdarah pada Jumaat lepas di pinggiran Moscow, Rusia, pada 23 Mac lepas. - Foto Sergei Vedyashkin/Moscow News Agency

Serangan dewan konsert Moscow: Tanda kebangkitan semula ISIL?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MOSCOW, Rusia: Lebih 133 orang maut dan hampir 120 lagi cedera ekoran satu serangan berani ke atas penonton konsert di Crocus City Hall di sini sebelum sebuah kumpulan rock era Soviet memulakan persembahan pada Jumaat lepas.

Penyerang yang memakai seragam penyamaran melepaskan tembakan dan dilaporkan melontar alat letupan ke dalam dewan konsert yang terbakar sehingga bumbungnya runtuh selepas serangan berdarah itu.

Sebelas orang telah ditahan, termasuk empat yang terlibat secara langsung dalam serangan bersenjat itu, agensi berita Interfax di Rusia melaporkan awal semalam.

Cabang ISIL di Afghanistan, yang turut dikenali sebagai Negara Islam di Wilayah Khorasan, ISKP, mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan ketulenan dakwaan itu, menurut agensi berita Reuters.

ISKP (yang turut dikenali sebagai ISIS-K) masih salah satu sekutu paling aktif ISIL dan menamakan kumpulan mereka sempena sebuah pemerintahan khalifah silam di rantau itu yang pernah meliputi beberapa kawasan di Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turkmenistan.

Kumpulan itu muncul dari timur Afghanistan pada hujung tahun 2014 dan dianggotai pejuang serpihan puak Taliban Pakistan selain pejuang tempatan yang menjanjikan taat setia kepada arwah ketua ISIL, Abu Bakar al-Baghdadi.

Sejak itu, kumpulan itu telah membina reputasi yang menakutkan kerana kekejaman yang mereka lakukan.

Menurut seorang penganalisis tentera dan bekas kolonel tentera Turkiye, Murat Aslan, sekutu ISIL di Afghanistan terkenal kerana “metodologi yang radikal dan sukar”.

“Saya rasa ideologi mereka memberi inspirasi kepada mereka dari segi pemilihan sasaran.

“Pertama sekali, Rusia berada di Syria dan menentang Daesh (ISIL) seperti AS.

“Itu bermakna mereka melihat negara sedemikian sebagai musuh,” kata Aslan kepada Al-Jazeera semalam.

“Mereka sekarang di Moscow. Sebelum ini mereka berada di Iran, dan kita akan melihat lebih banyak lagi serangan, mungkin di ibu kota lain,” tambahnya.

Walaupun keanggotaannya di Afghanistan dikatakan sudah menurun sejak kemuncaknya sekitar tahun 2018, pejuangnya masih menimbulkan ancaman paling besar kepada kekuasaan Taliban di Afghanistan.

Pejuang ISIS-K mengaku bertanggungjawab bagi serangan pada 2021 di luar lapangan terbang Kabul dan mengorbankan sekurang-kurangnya 175 orang awam, membunuh 13 askar AS, dan mencederakan puluhan lagi.

Sekutu ISIL itu pernah dituduh melancarkan serangan berdarah ke atas sebuah wad bersalin di Kabul pada Mei 2020 yang mengorbankan 24 orang, termasuk wanita dan bayi.

Pada November tahun yang sama, kumpulan itu melancarkan serangan ke atas Universiti Kabul dan membunuh sekurang-kurangnya 22 guru dan pelajar.

Pada September 2022, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab bagi satu serangan bom bunuh diri yang berdarah di kedutaan Rusia di Kabul.

Pada tahun lepas, Iran menyalahkan kumpulan itu bagi dua serangan berasingan ke atas sebuah makam penting di selatan Shiraz, Shah Cheragh, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan lebih 40 lagi.

AS mendakwa ia memintas komunikasi yang mengesahkan kumpulan itu sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan sebelum beberapa serangan bom bunuh diri selaras di Iran pada Januari tahun ini membunuh hampir 100 orang di kota Kerman, tenggara Iran.

ISIS-K mengaku bertanggungjawab bagi serangan di Kerman.

Penganalisis pertahanan dan keselamatan mendakwa kumpulan itu menyasarkan propagandanya ke arah Presiden Rusia, Vladimir Putin, sejak beberapa tahun lalu kerana penindasan yang didakwa dilakukan oleh Rusia ke atas orang Islam.

Profesor Madya Amira Jadoon dari Universiti Clemson di South Carolina, AS, yang turut menulis buku ‘The Islamic State in Afghanistan and Pakistan: Strategic Alliances and Rivalries’, berkata Rusia dilihat sebagai penentang utama ISIL, dan Moscow telah menjadi tumpuan “perang propaganda meluas” ISIS-K.

“Pembabitan Rusia dalam peperangan global menentang ISIS dan sekutunya, terutamanya menerusi operasi ketenteraan di Syria dan usahanya untuk menjalin hubungan dengan puak Taliban Afghan – musuh ISIS-K – menandakan Rusia sebagai musuh utama ISIS/ISIS-K,” kata Jadoon kepada Al-Jazeera.

Jika benar serangan di Moscow dilakukan oleh ISIS-K, kata Jadoon, kumpulan itu berharap untuk mendapatkan sokongan dan memajukan “matlamatnya untuk berubah menjadi sebuah organisasi pengganas dengan pengaruh global” dengan menunjukkan ia dapat melancarkan seangan di dalam negara Rusia.

Pada awal Mac lepas, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia, atau lebih dikenali sebagai FSB, bekata ia telah berjaya mematahkan satu rancangan ISIL untuk menyerang sebuah saumaah di Moscow.

ISIL dan Rusia juga sudah lama menjadi musuh di medan perang lain, seperti Syria, di mana kuasa udara Moscow dan sokongan kepada rejim Bashar al-Assad memainkan peranan penting dalam kejayaan mengekang kemajuan pejuang ISIL pada tahun-tahun awal perang saudara di negara itu.

Tentera Rusia juga dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia dan barisan pembangkang lain di Syria melakukan pelanggaran dan keganasan ke atas orang awam menerusi kempen serangan bom mereka.

Hubungan erat Moscow dengan Israel juga satu perkara yang jelik dalam ideologi ISIL.

Selain itu, terdapat satu lagi faktor, iaitu jauh daripada perhatian dunia, kumpulan bersenjata itu sudah berkumpul semula dan membentuk semula kekuatan rentetan daripada beberapa kegagalan di Syria dan Iran.

Kekuatan ISKP di Afghanistan sudah berkembang dengan signifikan, dan ia bukan sahaja ISKP.

ISIS di wilayah operasi asalnya, Syria dan Iraq, juga menyaksikan peningkatan dalam keupayaan operasi.

Sekarang ia kuat dari segi ideologi tetapi dari segi politik, taktik atau strategi, ia tidak kuat lagi, dan itulah cabaran yang dikemukakan kepada dunia yang selama ini tidak memberi tumpuan.

BERITA LAIN

Kuda lumba ‘tunggu’ kereta api di Australia

PORTAL berita sky.news di Australia semalam melaporkan tentang satu rakaman video tular yang menunjukkan seekor kuda seakan-akan sedang menunggu kereta api seperti mereka. Kuda lumba

AS tetap bantah rancangan Israel serang Rafah

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyatakan pihaknya tetap menentang serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza walaupun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sudah

BERITA TERBARU

PADU: Sarawak masih tunggu wakil Kementerian Ekonomi

KUCHING: Kerajaan Sarawak belum lagi menerima kunjungan daripada wakil Kementerian Ekonomi bagi memberi taklimat berkaitan isu keselamatan Pangkalan Data Utama (Padu). Premier Datuk Patinggi Tan

LAMPU RAYA SERIBU

Aswandi Mohammad sanggup belanja RM1,000 untuk menghiaskan halaman rumahnya dengan pelbagai warna-warni lampu neon. Beliau turut membuat pintu gerbang berbentuk kubah masjid dan perkataan Salam