Serangan Sarawak United FC digeruni

BAGI pemerhati Liga Malaysia 2021, pasukan Sarawak United FC (SUFC) mempunyai jentera serangan yang setaraf pasukan Liga Super.

Ini ekoran kehadiran penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) yang akan bergandingan dengan penyerang import dari Korea Selatan, Lee Chang-Hoon.

Gandingan tersebut bakal menjadi perhatian semua pasukan dalam Liga Premier.

Chang-Hoon merupakan penyerang prolifik, yang amat bahaya ketika berada di dalam petak penalti.

Manakala Mat Yo masih lagi mempunyai sentuhan berbisa selepas semusim menyertai kelab ternama Thailand, Phatum United.

Malah Sandro Mendoca yang akan beraksi di bahagian tengah atau “attacking midfielder” akan menambahkan sengat serangan.

Lebih menarik, SUFC mempunyai tiga pemain sayap bertaraf nasional, iaitu Christie Jayaseelan, Ashri Chuchu dan R. Gopinathan.

Kemungkinan besar jurulatih SUFC, E. Elavarasan akan membuat sedikit rombakan, dengan meletakkan Jayaseelan di bahagian tengah untuk bergandingan dengan Mendoca.

Ini kerana Jayaseelan juga mampu beraksi di bahagian tengah.

“SUFC merupakan sebuah pasukan yang akan lebih menekankan aspek serangan kerana merken mempunyai ramai pemain berkualiti,” kata pemerhati.

Teraju benteng, Taylor Regan misalnya, pasti akan masuk ke petak penalti setiap kali sepakan sudut atau “set piece”. Liga Malaysia 2021 bermula pada 1 Mac depan.