KUCHING: Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan ekoran laporan berhubung serangan terhadap seorang Timbalan Menteri Sarawak baru-baru ini, di tepi jalan kawasan perumahan Tabuan Jaya pada 30 Mei lalu.
Serangan tersebut telah menyebabkan kecederaan calar dan kesakitan pada bahagian belakang badan beliau.
Pesuruhjaya Polis Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.
Selain, hukuman penjara selama tempoh yang boleh mencecah dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu katanya, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menerima satu laporan daripada seorang YB berhubung kes tersebut.
“Beliau (YB) mendakwa telah melihat empat orang suspek yang dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan, lalu membuat teguran terhadap mereka.
“Salah seorang daripada suspek tidak berpuas hati terhadap teguran yang diberikan lalu cuba untuk menyerang dan mengasari beliau sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil beri keterangan lanjut.
Dalam pada itu, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan menjejaki suspek yang terlibat.