Serba Dinamik bantu 515 pekerja harian

BINTULU: Tanpa sumbangan pekerja, sesebuah syarikat tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan dan lancar, jelas Pengerusi SD Sdn.Bhd, Datuk Abdul Kadier Sahib.

Menurutnya, menjadi keutamaan majikan memastikan kebajikan setiap pekerjanya dijaga dengan baik tidak kira mereka pekerja tetap, bertaraf kontrak ataupun bergaji harian.

“Menyedari hakikat tersebut, Serba Dinamik mengambil inisiatif mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada 515 pekerja harian kami yang terjejas akibat pandemik Covid19,” katanya ketika mengagihkan bantuan makanan itu, semalam.

Proses pengagihan bermula semalam dan hari ini membabitkan 370 pekerja harian, manakala pengagihan kepada 145 penerima lagi akan dilakukan pada minggu depan.

Setiap penerima menerima 20 kilogram beras, dua papan telur ayam, sekotak mi segera, dua kilogram minyak masak, dua paket garam, lima tin makanan dalam tin, dua kilogram gula, kopi, teh, tepung gandum, bihun dan serbuk perasa Ajinomoto.

Abdul Kadier berharap bantuan bakul makanan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan terbabit yang terkesan secara langsung ekoran terhenti pendapatan harian dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan akibat pandemik Covid-19.

Mereka yang tidak berpendapatan tetap jelasnya, pasti sukar untuk terus menyediakan keperluan dan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Sumbangan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat kami yang prihatin akan golongan memerlukan.

“Kita kini menghadapi satu keadaan yang luar biasa dan kita juga berasa perlu tampil untuk memberikan bantuan secara luar biasa,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak