KUCHING: Serba Dinamik terus komited memastikan prestasi cemerlang bagi penutup 2021, selepas syarikat itu menyelesaikan isu audit sejak awal tahun ini. Syarikat minyak dan gas itu sebelum ini terpalit dengan pertikaian bekas juruauditnya, KPMG dan mengambil tindakan undang-undang terhadap firma audit tersebut.
Mengutip Free Malaysia Today (FMT), Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah (gambar) berkata pihaknya akan terus fokus untuk memenuhi janji bagi memberi hasil lebih kukuh kepada para pemegang saham. “Alhamdullilah, kami beroperasi seperti biasa dan harus muncul sebagai entiti perniagaan yang lebih baik, lebih kuat dan lebih berdaya di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya seperti dipetik FMT.
Pada Ogos lalu, syarikat itu mengumumkan kontrak asing dan tempatan baharu bernilai RM286.3 juta termasuk perjanjian dengan syarikat minyak dan gas, PT Pertamina EP, untuk kerja-kerja di Indonesia dengan Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd.
Karim berkata, semua kontrak ini membuktikan bahawa syarikat luar masih menaruh kepercayaan kepada kepakaran teknikal Serba Dinamik, malah yakin ia sedang pulih. “Kami bekerja dengan tekun dan secara agresif memantau dan membincangkan beberapa kontrak yang bernilai besar, yang kami percaya boleh dimuktamadkan sebelum tahun berakhir,” katanya.
Abdul Karim turut menegaskan komitmen Serba Dinamik untuk mengharungi cabaran wabak Covid-19, dan kembali mencapai sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus yang berjaya dipenuhi sebelum krisis melanda.
“Saya tidak mahu menipu dengan mengatakan semuanya masih normal. Ada bank yang menarik diri.
“Pada masa sama, ada juga bank yang terus menyokong kami dan sudah tentu terdapat rakan perniagaan di beberapa negara lain yang masih percaya pada integriti kami dan meyakini keupayaan teknikal kami.
“Ada beberapa rakan perniagaan yang tidak gembira dan telah menghentikan kerjasama atau usaha niaga yang dipersetujui. Namun, kami dapat tanganinya dengan pilihan lain dan hasilnya, boleh dikatakan situasi dalam kawalan,” katanya.
Tambah beliau, langkah pempelbagaian yang diambil syarikat dalam sektor-sektor lain berjalan lancar dan ini membantu kumpulan itu mengimbangi cabaran yang dihadapi.