Serba Dinamik raih tiga kontrak asing bernilai RM543.5 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) di luar negara berjaya memperoleh tiga kontrak di Indonesia dan Zambia dengan gabungan nilai kontrak kira-kira US$126.8 juta (kira-kira RM543.5 juta).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata satu kontrak diraih di Indonesia menerusi PT Serba Dinamik Indonesia yang merupakan anak syarikat dengan kepentingan 75 peratus oleh Serba Dinamik International Ltd yang juga anak syarikat milik penuh SDHB.

Kontrak itu meliputi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian bagi PT Polytama Propindo.

Dua kontrak lain di Zambia pula diperoleh menerusi SDIT International Ltd, unit milik penuh Serba Dinamik IT yang juga unit milik penuh SDHB membabitkan pelaksanaan Platform Pinjaman Mikro Digital melalui saluran USSD bagi Zamtel serta Platform Kesihatan Digital Bagi Pihak Berkuasa Pengurusan Insurans Kebangsaan – kedua-duanya untuk ZCOM Systems Ltd.

SDHB berkata ia juga telah meraih tujuh kontrak domestik bagi kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik Sdn Bhd.

Menurutnya, kontrak-kontrak itu tidak mempunyai nilai khusus kerana berasaskan ‘call-out’ yang mana arahan kerja diberi mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual aktiviti dan kadar bagi tempoh sepanjang kontrak berkenaan.