Serian bertukar ke status hijau, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini

KUCHING: Daerah Serian bertukar status dari kuning kepada hijau hari ini setelah tiada kes jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dalam kenyataannya berkata, Daerah Sibu dan Kuching kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Tambahnya, tiada kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak dan jumlah kes positif kekal 1,090 kes.

“Terdapat tiga kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Dua kes dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak dan satu kes dari Hospital Bintulu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,056 orang atau 96.88 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” jelas jawatankuasa tersebut.

JPBN memberitahu, seramai 21 individu bawah siasatan (PUI) dilaporkan hari ini dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak