SERIAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) akan mengadakan sesi pemilihan pemain bagi tujuan membentuk pasukan untuk mengharungi kempen Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026).
Presiden SFA, MD Haiqal Abdullah memberitahu, sesi pemilihan pemain terbabit akan berlangsung hujung minggu ini (Sabtu dan Ahad).
Menurut Haiqal, sesi pemilihan pemain untuk dua hari itu berlangsung di padang ILP Serian.
“Kita menyeru kepada pemain berbakat khususnya mereka yang tinggal di Bahagian Serian untuk menyertai sesi pemilihan selama dua hari itu kelak.
“Ia akan dikendali oleh barisan jurulatih yang telah dilantik,” ujar Haiqal kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau memberitahu, sesi pemilihan hari pertama (Sabtu) diadakan pada dua waktu berbeza iaitu sebelah pagi (8:00 – 11:30 pagi. Diteruskan pada sebelah petang (2:30 – 5:00 petang).
Jelas Haiqal, berbeza dengan pemilihan pada hari Ahad yang akan berlangsung pada sebelah petang sahaja bermula pukul 2:30 petang.
“Pemilihan hari Ahad berlangsung pada sebelah petang sahaja dan kita akan mengumumkan senarai pemain yang berjaya terpilih selesai penerimaan laporan daripada barisan kejurulatihan terlibat,” kata Haiqal.
Sambil memberi bayangan pengumuman nama pemain terpilih diadakan minggu depan.
Beliau akui, pihaknya komited mencari pemain bagi pembentukan pasukan untuk menghadapi kempen Liga Premier Sarawak 2026.






