Serian FA enggan menyerah

WALAUPUN kalah dalam ketiga-tiga perlawanan pusingan pertama Zon Selatan Kejohanan Bola Sepak Liga SCC-FAS 2021, namun skuad Serian FA enggan ‘mengangkat bendera putih”, sebaliknya masih menaruh harapan untuk melakukan kejutan dalam pusingan kedua nanti.

Mereka kalah teruk, 5-0 kepada Sarawak United FC II (SUFC II) dalam aksi pertama, kemudianya disusuli dengan dua lagi kekalahan, tewas 1-0 kepada Samarahan, dan tumpas 1-0 kepada Kuching FC.

Di atas kertas, peluang Serian FA dilihat amat tipis, kerana dua pasukan, SUFC II dan Kuching FC merupakan pilihan utama untuk ke pusingan seterusnya.

Jurulatih Serian FA, Makri Lonchen tetap positif dengan keupayaan anak-anak buahnya, walaupun ia dianggap sebagai ‘misi mustahil’.

“Peluang kita masih ada, cuma mesti menang ketiga-tiga perlawanan pusingan kedua nanti.

“Namun jika mengambil kira prestasi para pemain, kita boleh buat kejutan… asalkan peluang dimanfaatkan dan pemain kekal fokus,” ujar Makri.

“Kita akan berusaha lagi, menyusun semula strategi. Selagi masih ada peluang walaupun tipis, maka selagi itulah kami akan berusaha. Lagi pula dalam bola sapak pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” jelasnya.

Serian FA menunjukkan peningkatan prestasi ketika menentang Kuching FC Isnin lalu walaupun kalah 1-0. Malah mereka berjaya menyekat Kuching FC daripada menjaringkan banyak gol.

Kuching FC dan SUFC II merupakan pasukan pilihan untuk mara ke pusingan selanjutnya. Kedua-dua pasukan tersebut dibarisi pemain Piala Presiden.

Sementara itu, empat pasukan dalam Zon Tengah iaitu, Sibu, Sarikei Sri Aman dan Kapit. Zon Utara pula hanya membabitkan tiga pasukan, iaitu Mukah, Miri dan Bintulu. Dua pasukan, Betong dan Limbang menarik diri.

Dua pasukan teratas setiap zon akan melayakkan diri ke pusingan seterusnya yang akan dilangsungkan secara karnival di Bintulu. Ini bermakna, enam pasukan yang layak akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir.

Suara Sarawak