Serian lokasi tanam kopi

SERIAN: Kampung Munggu Kopi Serian dipilih sebagai lokasi untuk memulakan tanaman kopi di bahagian ini.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Roland Sagah Wee Inn, ia adalah kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk menanam kopi di kampung ini.

Jelas Roland, suatu ketika dahulu penduduk Kampung Munggu pernah menanam kopi dan ia dikenali sebagai Bukit Kopi. Katanya, tanaman kopi sebelum ini semakin berkurangan, kerana harga tanaman lain lebih lumayan berbanding kopi.

“Namun kini harga kopi kembali mahal, malah sebagai komoditi penting di peringkat global. “Kita memperoleh maklumat daripada pakar kopi bahawa kopi  merupakan komoditi yang baik dan bernilai,” ujar Roland kepada selepas program Transformasi Luar Bandar di sini semalam.

Beliau memberitahu, penduduk Kampung Munggu Kopi masih ingat cara menanam kopi dan Kerajaan Sarawak akan membantu dari segi peralatan dan kemudahan secara moden.

Katanya, Serian merupakan pembekal sayur-sayuran, buahbuahan dan penternakan yang dieksport ke luar negara. Selain pertanian, Roland menambah, aktiviti pelancongan di bahagian ini turut diberi tumpuan.

Kampung Munggu Kopi akan menjalankan sistem tagang untuk membiak ikan dan udang.

“Kami akan adakan program bersama-sama Jabatan Pertanian dan Lembaga Sungai Sarawak untuk program ini bagi menarik pelancong dari Sarawak dan luar Sarawak. “Selain itu, institut pengajian tinggi juga boleh membuat kajian dan penyelidikan,” jelasnya.

Suara Sarawak