ARTIKEL

Serius buru juara SUKMA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bangga apabila Sarawak diamanahkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (MGSC) untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA 2024).

Bagi beliau, ia adalah satu tanggungjawab, demi sukan negara, dan sudah tentu, demi sukan Sarawak dan barisan atlet Bumi Kenyalang yang akan mengibar cabaran.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 pada hari pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu beliau mengumumkan sebanyak RM69.35 juta diperuntukkan bagi melengkapkan atlet dengan peralatan sukan terbaik sebagai komitmen untuk merampas semula kejuaraan yang pernah disandang pada 1990, 1992 dan 1994. Malah kemudahan sukan turut diberi perhatian dengan peruntukan RM75 juta untuk pembangunan serta membaik pulih keperluan sedia ada.

Secara keseluruhan ia membabitkan sebanyak RM144.35 juta. Antara projek sukan yang telah diluluskan ialah menaik taraf stadium dan membaik pulih kemudahan sukan sedia ada untuk memenuhi piawaian antarabangsa.

Pembangunan kemudahan bukan sekadar untuk SUKMA 2024 tetapi juga untuk kegunaan penganjuran acara sukan global.

Menjadi tumpuan kerajaan agar negeri ini boleh menjadi pilihan untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa utama seperti Sukan Antarabangsa Borneo (BIG), Sukan SEA, Sukan Komanwel dan seumpamanya. Yang pasti, Abang Jo menaruh harapan tinggi terhadap SUKMA 2024.

SUKMA adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1983 ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ia mula diperkenal pada 1986 hingga kini, dengan tujuan melahirkan atlet berbakat besar di segenap penjuru Malaysia. Yang pasti, SUKMA merupakan landasan awal atlet muda negara sebelum mencipta nama di persada dunia.

Hingga kini SUKMA masih relevan, dengan penyertaan semua negeri di Malaysia. Ia bukan sekadar sukan, tetapi pengukuh integrasi nasional, dan sangat sesuai dengan konsep pemerintahan negara sekarang ini, Kerajaan Perpaduan.

Perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum melalui sukan di negara ini cukup penting, seiring dengan ‘acuan Sarawak’ yang terkenal sebagai negeri perpaduan, kesatuan masyarakat dalam kepelbagaian, tanpa mengira bangsa dan agama.

Malah Kerajaan Sarawak turut menjadikan sukan sebagai antara agenda penting, dalam menuju negeri maju pada 2030, selain ekonomi, teknologi, pendidikan, infrastruktur dan pendapatan rakyat.

Sebagai negeri yang pernah melahirkan beberapa nama besar di pentas nasional dan global, sejak era 60-an, Sarawak terus berusaha untuk melahirkan atlet generasi baharu yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Seperti yang ditegaskan Abang Jo, bahawa potensi atlet di negeri ini, bukan hanya digilap untuk menjadi juara di peringkat negeri atau nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa. “Kita mahu melahirkan atlet berstatus dunia… bukan hanya jaguh kampung.

Sebab itu Kerajaan Sarawak membuat pelaburan besar untuk membina kemudahan sukan,” ujarnya.

“Kita juga mahu bersama-sama membangunkan sukan negara serta meningkatkan mutu atlet negara.

Contohnya kita ada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin,” katanya Abang Jo lagi.

Selain itu, Sarawak juga melahirkan atlet bertaraf dunia suatu ketika dahulu seperti Bala Ditta, atau lebih dikenali sebagai Kuda Ditta yang beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 1964 dalam acara 200 meter lari berpagar. Kemudian lahirnya, jaguh pecut Watson Nyambek yang beraksi di pentas Sukan Olimpik Atlanta 1996. Kita juga ada jaguh tinju, Sapok Biki juara Sukan Komawel 1998.

Kita juga ada jagoan bina badan, Buda Anchah, juara dunia tiga kali, dan bintang bola sepak, Bobby Pian yang menerajui pasukan Malaysia dalam pertandingan Kelayakan Piala Dunia.

Malah sekarang ini, Sarawak juga mempunyai barisan atlet generasi baharu yang sedang mengukir nama, dan dalam pembikinan untuk muncul juara dunia.

Misalnya Daelonial McDelon atau Kilat Boy (tinju), Johan Ghazali atau Jojo (muaythai), serta alet terjun, Bertrand Rhodict Lises yang layak ke Olimpik Paris 2024.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak juga sentiasa menyediakan insentif untuk atlet yang mencipta nama di peringkat nasional dan dunia, sama ada atlet normal atau kurang upaya (OKU).

Untuk tahun ini Kerajaan Sarawak memberikan insentif berjumlah RM755,000 kepada atlet yang meraih pingat dalam SUKMA XX; MSN 2022; Sukan SEA Hanoi 2021; Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Malah atlet yang berjaya di peringkat dunia, seperti Pendelela dan Bonnie turut menerima insentif khas yang cukup lumayan daripada Kerajaan Sarawak, dalam bentuk kewangan dan hartanah.

Yang pasti, insentif dan ganjaran seumpama ini sangat penting bagi atlet yang cemerlang di persada dunia. Ia bukan sekadar galakan dan cetusan semangat buat mereka, tetapi juga sebagai inspirasi atlet alaf baharu.

Ia penting agar sukan tidak dipandang enteng oleh masyarakat terutama golongan ibu bapa atlet.

Sukan kini sudah pun memasuki era profesional dan mampu memberikan pendapatan lumayan.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak juga sentiasa mengambil berat tentang kemudahan sukan kerana setiap bahagian mempunyai kemudahan asas, seperti stadium mini, trek olahraga, gelanggang futsal, dewan badminton, dan seumpamanya.

Ia bagi memastikan bakat-bakat baharu, terutama dari sekolah rendah dan menengah sentiasa mengasah kebolehan mereka, sebelum ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, kita memerlukan jurulatih bertauliah, atau pakar dalam bidang masing-masing, bagi memasikan atlet era baharu ini mendapat ilmu asas dan lanjutan yang betul. Untuk itu, pembangunan jurulatih di negeri ini, sama ada daripada golongan guru atau profesional, memainkan peranan penting, dalam melahirkan bakatbakat baharu untuk masa depan sukan Sarawak.

Kursus kejurulatihan perlu diadakan dari semasa ke semasa dengan modul terkini, kerana sukan zaman teknologi ini sentiasa pantas melalui transformasi.

Ia bukan sekadar teknik, taktik di gelanggang latihan dan pertandingan, tetapi juga membabitkan motivasi, psikologi, emosi dan pemakanan. Yang pasti, kejayaan dalam SUKMA sangat penting bagi alet Sarawak untuk membentuk keyakinan diri agar tampil lebih mantap dalam menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini.

Sesuai dengan reputasinya sebagai platform awal, dalam melahirkan jaguh dunia, atlet Sarawak harus memanfaakan SUKMA 2024, bukan sekadar juara untuk diri sendiri tetapi juara keseluruhan. Ia penting sebagai perintis untuk menjadi kuasa besar sukan di Malaysia pada masa akan datang. 

LAIN-LAIN BERITA

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya. Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau

Cara indah hargai orang

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami lepasan sekolah menengah di Kuching rancak tentang kejadian banjir kilat melanda Kuching,

Sarawak dahului inisiatif tenaga hijau

DALAM usaha untuk mengejar kelestarian alam dan kemajuan ekonomi, inisiatif tenaga hijau telah menjadi fokus utama bagi banyak negara. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk

Impak medsos dalam Pilpres 2024

PASANGAN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka terus unggul dalam kiraan sebenar (real count) bagi keputusan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Menurut media

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

BERITA TERBARU