KUCHING: Stesen radio baharu, KUPIKUPI FM Sarawak bakal menyerlahkan potensi penggiat seni serta muzik tempatan kebanggaan rakyat Sarawak.
Pengurus KUPIKUPI FM Sarawak, Gideon Jute berkata, radio dengan frekuensi 92.5 Mhz ini bukan sahaja menyampaikan info terkini dari Sarawak, bahkan diserikan lagi dengan lagu-lagu tempatan.
“Selain muzik tempatan, KUPIKUPI FM Sarawak juga akan menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu dalam bahasa asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pe;ancaran KUPIKUPI FM Sarawak di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan perasaan teruja untuk mengendalikan stesen radio tersebut bersama-sama Pengurus Besar Lester Calvin Miol, Pengasas dan Pengarah bersama OOGA X, Fui K Soong serta penyampai radio.
“Dengan sifar pengetahuan dalam industri radio, saya telah diberi kepercayaan oleh Lester untuk menerajui stesen ini.
“Dan saya berbesar hati menerimanya dan teruja dengan perjalanan syarikat yang masih lagi bayi ini,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Fui K Soong berkata, dengan revolusi industri teknologi masa kini, ia berfungsi sebagai penggerak kepada bidang penyiaran termasuk radio.
“Radio dahulu hanyalah platform yang menggunakan audio, namun sekarang dengan adanya jaringan jalur lebar 5G, kita bukan sahaja dapat mendengar tetapi juga menonton saluran radio tersebut.
“Media digital membolehkan semua ini terjadi untuk rakyat di Sarawak,” katanya.