Seronok berbuka di atas jalan

KUCHING: Duduk beralaskan tikar di atas jalan sambil menikmati juadah berbuka puasa ringkas dan unik.

Kemeriahan itu merupakan keistimewaan bagi 50 keluarga di Kampung Sungai Maong terutama saat azan Maghrib dilaung menandakan masuknya waktu berbuka puasa.

Kegembiraan terpancar pada wajah usai berbuka puasa dengan hidangan ringkas tetapi penuh makna kerana makan bersama-sama sanak-saudara.

Begitulah suasana Program Sungkei@Lebuh, acara tahunan istimewa penduduk Kampung Sungai Maong ketika bulan Ramadan mampu mengeratkan silaturahim antara orang lama dan generasi muda.

“Program Sungkei@Lebuh sangat istimewa kerana bukan saja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk ketika berbuka puasa beramai-ramai.

“Melalui tradisi ini, orang muda dapat mengenali orang tua dan keluarga jauh dapat didekatkan,” kata Ketua Kampung Sungai Maong, Hamdan Seman, 65, kepada Suara Sarawak di sini petang semalam.

Tambahnya, objektif penganjuran Program Sungkei@Lebuh antara lain bertujuan mengimarah dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah.

Sementara itu, salah seorang penduduk Udin Tia, 75, berkata, inspirasi menganjurkan program berbuka adalah daripada program yang sama di Dataran Merdeka tahun 2014.

“Pada bulan Ramadan 2014, saya bersama-sama keluarga pergi ke Kuala Lumpur untuk membeli kain serta kelengkapan Hari Raya.

“Kebetulan pada masa itu terdapat program berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Merdeka. Jadi kami mendapat inspirasi untuk mengadakan program sama di kampung kami.

“Bermula 2015, kami sepakat mengadakan Program Sungkei@Lebuh di Kampung Sungai Maong ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, disebabkan banyak keluarga di Kampung Sungai Maong, mereka menganjurkan program itu secara bergilir-gilir sepanjang Ramadan bermula dari rumah keluarga paling tua di situ.

Justeru, Hamdan dan Udin berharap agar tradisi dimulakan dapat diteruskan oleh generasi muda pada masa depan di Kampung Sungai Maong.

Memasuki tahun kelima penganjurannya Program Sungkei@Lebuh menyediakan pengisian seperti majlis berbuka puasa (iftar), solat berjemaah Maghrib, Isya, terawih, berzikir dan moreh.