JAUH perjalanan luas pemandangan, jika kita banyak merantau, maka lebih banyak perkara yang kita lihat.
Sewaktu kecil, tentu ramai antara kita berkeinginan untuk melancong ke pelbagai tempat terutamanya di negara terkenal.
Sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai empat musim, tentu kita ingin pengalaman berada di negara bersalji, keindahan musim bunga dan musim luruh.
Disebabkan itu, kita perlu melancong untuk melalui sendiri pengalaman di tempat orang.
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Diamond Resorts International pada 2014, 75 peratus daripada pelanggannya melahirkan rasa gembira apabila melancong.
Perkara ini juga tidak dinafi kan kerana melancong mampu mengurangkan tekanan dan terapi diri.
Walaupun kita tidak boleh melupakan tanggungjawab hakiki pekerjaan, tetapi semasa bercuti adalah lebih baik untuk berhenti seketika daripada memikirkan soal kerja.
BUDAYA MASYARAKAT LAIN
Seterusnya, melancong membantu meluaskan perspektif.
Kita dapat melihat aktiviti harian dan corak kehidupan masyarakat lain di sesebuah kawasan.
Ia juga mendorong kita untuk berfi kir sekali gus belajar perkara baharu yang tiada di kawasan kita.
Contohnya, apabila kita melancong ke tempat yang mempunyai perbezaan budaya, ia mendedahkan kita tentang budaya masyarakat tersebut.
Selain itu, melancong menguatkan daya ketahanan mental dan emosi.
Sewaktu melancong, tentunya kita berasa teruja tetapi terancam dalam masa yang sama.
Kita juga lebih peka dan berasa takut sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti dirompak, diculik dan sesat semasa perjalanan.
Walaupun ia bukan perasaan yang disukai, tetapi ia membantu menguatkan mental dan emosi kerana keadaan ini memaksa kita untuk sentiasa berwaspada.
Saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu bercuti di Kuala Lumpur bulan lalu.
Sememangnya ia pengalaman berharga kerana kebiasaannya saya menaiki kapal terbang untuk menimba ilmu sewaktu di Sabah.
Apabila sudah bekerja, saya berasa lebih teruja kerana perbelanjaan untuk bercuti ditanggung sendiri tanpa membebankan ibu bapa.
Umum mengetahui Kuala Lumpur dianggap sebagai bandar paling sibuk dan sesak di Malaysia.
Bukan itu sahaja, bandar ini juga sentiasa “hidup” dari pagi hingga malam.
SESAK
Apabila tiba di sana, saya dapat melihat perbezaan ketara dari segi keadaan dan kesesakan lalu lintas di bandar tersebut. Jika dibandingkan dengan Mukah, saya lebih bersyukur kerana kesesakan lalu lintas dialami sewaktu Pesta Kaul atau keramaian sahaja.
Berbanding di Kuala Lumpur, walaupun kawasan kerja hampir dengan kawasan rumah, mereka perlu keluar awal untuk mengelak kesesakan lalu lintas.
Walaupun mempunyai empat laluan untuk satu hala, ia tetap tidak dapat menampung jumlah kereta di bandar itu pada waktu puncak.
Namun, dalam kesesakan lalu lintas tersebut, masih banyak perkara dan tempat menarik di Kuala Lumpur yang wajib dikunjungi.
Jika ingin menjimatkan masa, menaiki bas rondaronda Kuala Lumpur Hop On Hop Off menjadi pilihan terbaik kerana kita dapat melihat pelbagai tempat menarik dan menikmati keindahan alam sekitar selama dua jam di ruangan atas bas tersebut.
Terdapat dua waktu untuk menaiki bas — pada waktu siang dan malam.
Disebabkan, pada petang hingga malam hujan, saya dan rakan memilih untuk menaiki bas pada waktu siang. Walaupun panas, tetapi ia berbaloi kerana banyak tempat yang boleh dilawati.
Pengalaman semasa berada di sana tentunya tidak dapat diulang kembali.
Saya ingin pembaca merasai sendiri suasana di luar kawasan kita supaya menjadikan kita lebih bersemangat dalam apa-apa jua pekerjaan yang dilakukan.
Jackie Chan juga pernah menasihatkan supaya melancong kerana wang boleh kembali, tetapi masa tidak akan kembali.