Sertai Friends of KPDNKHEP tangani isu kepenggunaan

MUKAH: Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) Mukah, Salihin Den menasihatkan semua peniaga di sekitar Bahagian Mukah termasuk Dalat, Matu dan Daro agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh berkuatkuasanya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020 pada kali ini.

Katanya pihak kementerian telah mengistiharkan sebanyak 16 jenis barangan bagi perlaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina kali ini berbanding 13 jenis barangan pada sebelum ini.

Jelasnya SHMMP tersebut telah berkuatkuasa pada 20 Januari yang lalu dan akan berakhir pada 2 Februari yang akan datang dengan tempoh selama 14 hari iaitu selama lima hari sebelum perayaan pada hari perayaan dan lapan hari selepas hari perayaan.

“16 barangan kawalan yang tersenarai tersebut ialah Ayam Hidup, ayam standard, ayam Super, Telur Ayam Gred A,B dan C, Kubis Bulat Import, Cili Merah, Tomato, Bawang Putih, Ubi Kentang, Ikan Bawal Putih, Udang Putih Besar, Babi Hidup, Daging Babi (Perut) dan Daging Babi ( Daging dan Lemak).

“Peniaga dinasihatkan supaya menjual harga barang terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan, selain peniaga diwajibkan untuk meletakkan tanda harga merah jambu bagi setiap barangan yang dikategorikan sebagai baranagn harga terkawal sepanjang tempoh berkuatkuasanya SHMMP tersebut, termasuk menggunakan alat timbang dan sukat yang telah disahkan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tegas beliau lagi, mana-mana peniaga perseorangan dan syarikat yang gagal mematuhi arahan yang telah ditetapkan boleh dikenakan tindakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali atau dikompaun bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya mereka boleh dikenakan denda yang lebih berat atau penjara atau kedua-duanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga yang tidak bertanggungjawa , tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara,”ujarnya lagi.

Difahamkan juga pihak KPDNKHEP Cawangan Mukah telah menjalankan operasi dan pemeriksaan yang berterusan dan telah berjaya menghasilkan kes yang berkaitan dengan salah laku etika berelniaga di sekitar kawasan Bahagian Mukah.

Untuk tahun 2019 sahaja KPDNKHEP Mukah telah menemukan sebanyak 80 kes dibawah pelbagai akta yang melibatkan peniaga dengan nilai rampasan sebanyak RM21,470.20, manakala bagi kesalahan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah mencatatkan sebanyak 44 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM8,377.20.

Salihin juga menyeru para pengguna supaya sentiasa peka dan sedar akan hak mereka sebagai pengguna supaya tidak tertipu dan membuat pilihan bijak setiap kali berbelanja, selain beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai di sekitar Bahagian Mukah untuk menjadi ahli Friends of KPDNKHEP (FOK) yang dapat menjadi mata dan telinga Kementerian beehubung dengan isu kepenggunaan.

Dalam perkembangan yang sama, semalam pihak KPDNKHEP Cawangan Mukah yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNKHEP, Rozli Likom dan Betram Bill serta beberapa orang anggota telah menjalankan pemeriksaan harga di Medan Mall Mukah bersempena dengan SHMMP Tahun Baru Cina 2020 bersama dengan pemberita dan mendapati secara keseluruhan pihak syarikat telah mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Suara Sarawak