ARTIKEL

Sesar Unjur udang eklusif Pulau Bruit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PROSES rumit yang memerlukan ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan sesar unjur menjadikan produk desa Pulau Bruit tersebut berstatus “udang eksklusif”. 

Dengan harga pasaran antara RM150 hingga RM180 sekilogram, aktiviti memproses sesar unjur atau kupas telad dalam bahasa Melanau Daro, kian menyeronokkan bagi sesetengan komuniti di Kampung Betanak. 

Mereka bergotongroyong mengupas kulit udang yang baru didaratkan oleh lelaki dalam keluarga mereka sekitar 12 tengah hari hampir setiap hari bergantung kepada bekalan udang tersebut.

Berkongsi proses menghasilkan sesar unjur, pengusahanya Amirasusanti Kipli, 33, berkata, sebanyak 100 kilogram udang merah atau payak bersaiz besar digunakan untuk menghasilkan sesar unjur.

“Prosesnya bermula dengan menyusun udang satu per satu di atas dulang khas atau babad (peralatan salai tradisional) sebelum ia disalai menggunakan kayu bakau kering.

“Kayu yang digunakan untuk menyalai sesar ini pula bukanlah kayu sebarangan kerana ia hanya menggunakan kayu bakau putih,” katanya kepada pemberita. 

Tambah Amira, udang merah tersebut disalai serong 45 darjah menggunakan api sederhana selama lima hingga ke enam jam.

Setelah disalai, sesar unjur kemudian dijemur sehingga kering selama dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca.

Begitu rumit dan telitinya penghasilan sesar unjur bagi menjamin kesucian produk, selain halal dan bebas bahan pengawet. “

Kerja mengupas kulit udang ini lazimnya dilakukan kaum wanita.

Ada yang mengambil upah sebanyak RM2 untuk sekilogram udang,” ujarnya lagi.

Sekali pandang, memang nampak mudah, sebaliknya ia memerlukan kepakaran dan kesabaran sebab proses tersebut memakan masa. 

Bagi mengekalkan tekstur manis selepas disalai, hanya udang merah yang benarbenar segar dijadikan sesar unjur.

Menurut Amira, harga pasarannya cukup stabil sekali gus menjadikan ia penyumbang kepada sosioekonomi penduduk kampung yang bergantung kepada hasil laut.

Nilai sesar unjur dianggar terus melonjak jika dipasarkan di luar kawasan, berikutan beberapa faktor sampingan termasuk kos pengangkutan. 

Kata Amira, walaupun pelbagai peralatan moden boleh digunakan untuk menghasilkan sesar unjur, namun masih ramai yang setia dengan kaedah tradisional.

TINGGI PERMINTAAN

Sesar unjur Pulau Bruit ini mempunyai kelas tersendiri dan sentiasa mendapat permintaan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.

“Ia menjadi salah satu snek kegemaran masyarakat Melanau khasnya dan mempunyai rasa yang amat unik.

“Ia boleh dimakan begitu sahaja dan kebiasaan dimakan bersama-sama sagu oleh masyarakat tempatan.

“Sesar unjur juga boleh dijadikan masakan atau dicampur dengan masakan lain seperti singgang atau lemak,” jelasnya.

Kini, pelbagai produk hiliran berasaskan sesar unjur boleh dihasilkan seperti serondeng, sambal kering dan sebagainya bagi menjana pendapatan komuniti tempatan. 

Bagi sesiapa yang berkunjung ke Pulau Bruit, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan sesar unjur walaupun harganya agak tinggi untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Sesar unjur merupakan makanan bermusim memandangkan ia paling banyak dan senang diperoleh sekitar Mac hingga Julai.

Pada bulan lain agak sukar mendapatkannya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menempah sesar unjur boleh terus hubungi Amira di talian 019-964 2896.

BERITA LAIN

Qulai Pizza sediakan program pembelajaran kanak-kanak

KULAI: Bermula daripada permintaan ibu bapa, aktiviti membuat piza di Qulai Pizza kini berkembang menjadi program pembelajaran untuk kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang. Menurut Bernama

BERITA TERBARU

Kebakaran belukar Lorong Teku masuk hari ketiga

SIBU: Kebakaran belukar di Lorong Teku 14 memasuki hari ketiga hari ini, dengan kira-kira 3.5 hektar kawasan masih belum berjaya dipadam sepenuhnya. Komander Operasi, PBK