Sesi persekolahan dari rumah

SEMALAM merupakan hari pertama bagi sesi persekolahan tahun 2021.
Pada penghujung minggu lepas, ramai ibu bapa membuat persiapan terakhir di beberapa buah pasar raya utama di Kuching.
Keterujaan turut terpancar pada wajah anak-anak yang bakal menjejakkan kaki, buat kali pertama ke sekolah.
Bagi pelajar semasa dan para guru, pembukaan sesi persekolahan pada awal tahun 2021, amat dinanti-nantikan.
Pun begitu, peningkatan mendadak kes Covid-19 di Malaysia, memaksa sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan di seluruh negara.
Keputusan tersebut, diumumkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada 16 Januari lepas, iaitu kurang seminggu selepas pengumuman pengoperasian sekolah pada 11 Januari 2021.
Tambahan pula, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 secara bersasar di beberapa buah negeri sebelum ini, dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak bermula esok.
Hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara, di negeri negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.
Keputusan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangguhkan sesi persekolahan bersemuka, sememangnya tepat dan wajar.
Dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin menggerunkan, ibu bapa pasti tidak mahu mengambil risiko untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Pada hakikatnya, penutupan sekolah bukan hanya berlaku di Malaysia.
Setakat 12 Januari 2021, lebih 40 buah negara melaksanakan dasar penutupan sekolah sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19.
Situasi ini menurut UNICEF, melibatkan hampir 825 juta pelajar di seluruh dunia.
Justeru, isu pendidikan yang sedang kita hadapi kini bukan bersifat lokal, namun telah menjadi sebahagian daripada permasalahan global.
Di sisi yang lain, impak daripada penutupan sekolah telah pun dikenal pasti dan langkah untuk mengatasinya sedang digerakkan.
Alternatif yang ada dan sedang dilaksanakan oleh KPM adalah dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Dalam konteks KPM, PdPR merujuk kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian.
Menariknya, PdPR boleh dilaksanakan dalam talian, luar talian dan off-site dengan berstruktur dan terancang.
Justeru, bagi pelajar yang mempunyai peranti dan data Internet, PdPR boleh dilaksanakan secara dalam talian.
Masa layar bagi PdPR bukannya sepenuh hari, namun mengikut had umur yang ditetapkan oleh The American Academy of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization (WHO). Sebagai contoh, bagi murid sekolah rendah, tempoh waktu layar sehari adalah sekitar 1 hingga 2 jam.
Manakala bagi pelajar sekolah menengah, waktu layar yang ditetapkan antara 2 hingga 4 jam.
Dalam erti kata mudah, tempoh masa pelaksanaan PdPR tidak seperti sesi persekolahan bersemuka.
Oleh itu, dalam jangka masa yang singkat, para guru perlu bijak memanfaatkan ruang yang ada bagi memastikan objektif PdPR dapat dicapai.
Persoalannya sekarang, bagai mana pula dengan murid yang tidak mempunyai capaian Internet?
Dalam hal ini, PdPR secara luar talian perlu dilaksanakan dengan menggunakan buku teks atau bahan pembelajaran lain.
Di beberapa buah sekolah di pedalaman Sarawak, bahan-bahan pengajaran dihantar sendiri oleh guru yang mengajar ke rumah panjang.
Malah terdapat segelintir guru yang mengendalikan pembelajaran secara off-site di ruai rumah panjang.
Semangat dan komitmen ini, hanya ada pada jiwa seorang pendidik yang ingin melihat anak-anak didiknya berjaya.
Justeru, wajarkah profesion yang mulia ini dilabel sebagai makan gaji buta semasa PKP?
Bagi memastikan pelaksanaan PdPR mencapai objektif seperti yang diharapkan, peranan ibu bapa dan penjaga amat penting.
Mereka berperanan dalam membantu anak-anak mendapatkan maklumat berkaitan sesi PdPR daripada guru.
Oleh itu, komunikasi berkesan antara guru dengan ibu bapa perlu diwujudkan, sepanjang pelaksanaan PdPR.
Kesibukan ibu bapa bekerja, tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak.
Selain itu, kita juga mengalu-alukan pengumuman Menteri Kewangan berkaitan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid dalam pembentangan belanjawan yang lepas.
Walaupun begitu, jumlah tersebut hanya mencakupi sekitar tiga peratus daripada 4.9 juta murid di seluruh negara.
Merujuk kepada tinjauan yang dilakukan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), lebih 36 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang alat elektronik yang dapat digunakan untuk mengikuti PdP dalam talian.
Sehubungan itu, jumlah komputer riba sedia ada wajar ditambah, bagi menampung keperluan sekurang-kurangnya seorang murid daripada keluarga B40.
Projek ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana ia pernah dilaksanakan pada 2010 di bawah Program pemberian Netbook 1Malaysia.
Selain bergantung kepada dana Kerajaan Persekutuan, pemberian komputer riba kepada pelajar sekolah yang memerlukan boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.
Dalam masa yang sama, liputan Internet di kawasan pedalaman harus diperluas dan dipertingkatkan dengan segera.
Perkara ini penting, bagi memastikan semua murid di Malaysia, mendapat hak pendidikan yang saksama sepanjang pelaksanaan PdPR.
Kini, kesemua warga pendidik telah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing.
Pengalaman melaksanakan PdPR pada tahun lepas, pastinya banyak membantu para guru untuk merangka strategi baharu yang lebih berkesan.
Bak kata peribahasa Melayu “alah bisa tegal biasa’”.
Selamat kembali ke sekolah!
Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.