Sesi persekolahan SK Kampung Nyalau ditangguhkan hari ini

BINTULU: Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan(SK) Kampung Nyalau ditangguhkan hari ini ekoran kenaikan paras air akibat hujan secara perlahan, lewat petang Rabu.

Guru besar sekolah berkenaan, Latif Mohamad Latiff ketika dihubungi memberitahu kenaikan paras air menyebabkan ibubapa tidak dapat menghantar anak- anak mereka ke sekolah berikutan jalan masuk ke kawasan sekolah dinaiki air pada paras kira-kira tiga meter dan merbahaya untuk dilalui.

Bagaimanapun, katanya, kesemua guru termasuk staf sokongan sekolah masih meneruskan rutin harian mereka dan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Setakat ini, tambah Lathiff lagi, keadaan masih lagi terkawal sekali gus berharap kenaikan paras air akan segera surut.

SK Kampung Nyalau mempunyai seramai 171 murid, guru(15) dan tiga orang staf sokongan dan dijalankan dalam satu sesi pembelajaran.