Sesi sulung webinar Dun Layar

BETONG: Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar memanfaatkan aplikasi Zoom untuk menganjurkan sesi sulung webinar (seminar dalam talian) bagi menangani isu pembelajaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, melihat impak pembelajaran dari rumah dalam kalangan pendidik, pelajar dan ibu bapa. Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, sesi tersebut lebih kepada refleksi diri untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang terlibat.

“Saya berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar serta barisan guru besar di Dun Layar serta kebenaran yang diberikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Betong.

“Perkongsian secara atas talian ini penting untuk kita bersama-sama menangani masalah pembelajaran sewaktu PKP.

“Pada masa yang sama, ini merupakan peluang untuk melihat impak pembelajaran dari rumah yang dipraktikkan sepanjang sekolah ditutup.

“Malah saya berasakan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan melalui saluran maya ini mampu menggerakkan minda serta memberi motivasi kepada para guru hasil perkongsian pelatih Neuro-Linguistic Programming (NLP) Gloria Soo dari Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya tentang penganjuran sesi webinar ‘Jolly Phonics Mentorship’ Siri Satu di sini, semalam.

Antara lain jelasnya, perkongsian bersama guru asas didik dan pelatih Jolly Phonics Creena Alison Wong akan menjadi persediaan minda, komunikasi, kreativiti dan kerjasama kepada para guru, murid dan ibu bapa apabila sekolah dibuka kelak.

Secara keseluruhan, Rentap menyifatkan sesi webinar sulung tersebut bakal menambah baik pembelajaran untuk warga pendidikan di Dun Layar.

“Iaitu melihat kepentingan pendidikan sebagai keutamaan terutama di peringkat pembelajaran awal kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya lagi, satu lagi sesi akan diadakan pada Julai depan.

Sesi webinar ‘Jolly Phonics Mentorship’ siri satu ini disertai 29 peserta terdiri daripada 18 guru prasekolah yang mengajar Jolly Phonics English Literacy Programme di 11 sekolah rendah dalam Dun Layar serta dua guru besar dan sembilan anggota penganjur, bahagian teknikal dan urus setia sebagai pemerhati.