Setiap pelawat luar diperiksa

SIBU: Sehingga kini, tiada kes Covid-19 dicatatkan di sini dan Jabatan Kesihatan Sibu sentiasa bersiap siaga sepenuhnya dalam melaksanakan tugas mereka memeriksa setiap penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu (LTS), tegas Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.

“Kami memeriksa semua penumpang setiap kali mereka mendarat di Lapangan Terbang Sibu yang dirujuk oleh Jabatan Imigresen Sibu,” katanya ketika dihubungi sebagai respons kepada aduan yang dibuat oleh orang awam kepada Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sarawak.

Tambah Dr Teh, beliau menghargai setiap aduan orang awam yang sangat prihatin terhadap perkembangan Covid-19, tetapi setakat ini mereka tidak mengesan sebarang penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, bagi kes di Sibu, satu-satunya ketibaan penerbangan antarabangsa adalah dari Brunei.

“Kami memulakan pemeriksaan penumpang yang mendarat di LTS sejak 30 Januari lalu dan kakitangan kami bertugas dalam dua syif, dari jam 6.30 pagi hingga jam 9 malam pada waktu malam sehingga penerbangan terakhir.

“Kami mempunyai seorang doktor, seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat yang ditempatkan di LTS,” katanya lagi.

Dr Teh menambah, mereka mempunyai alat terma pengimbas yang dipasang sejak 15 Februari lalu untuk memeriksa mereka yang datang dari luar Sarawak, contohnya dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Pengimbas ini berkesan untuk mengesan mereka yang demam sahaja.

Ia berfungsi secara automatik iaitu akan ada bunyi penggera sekiranya terdapat suhu panas di kalangan penumpang.

“Kakitangan kami akan terus memeriksa semula penumpang yang dikesan itu dengan lebih teliti pada masa yang sama.

“Sebelum terma pengimbas ini, kami menggunakan termometer inframerah. Ia beroperasi secara manual seperti termometer dahi.

Oleh itu, kami menggunakan termometer inframerah untuk memeriksa penumpang sebelum ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, Borang Perisytiharan Kesihatan juga diberikan kepada setiap penumpang dari luar Sarawak apabila mereka mendarat di LTS,” katanya.

Baru-baru ini Pengerusi YPNM Sarawak Eric Chiu Ing Siong berkata, YPNM Sarawak menerima kira-kira 20 aduan awam yang mendakwa Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu yang bertugas di LTS seolah-olah tidak ketat ketika menjalankan tugas mereka dalam memeriksa para penumpang yang tiba dari luar Sibu.

“Kami (YPNM Sarawak) belum pergi ke LTS untuk melihat sendiri berdasarkan aduan yang dibuat oleh orang awam yang mendakwa demikian.

“Kami berharap LTS akan membenarkan YPNM Sarawak masuk untuk melihat sendiri bagaimana keadaannya di sana,” tegasnya lagi.

YPNM Sarawak juga menerima aduan mengenai topeng mulut dan hidung, kerana terdapat farmasi yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harganya.

Suara Sarawak