Setuju JPJ beroperasi, khusus untuk urusan kenderaan perdagangan

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju membenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kaunter bermula esok (29 April).

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata urus niaga yang dibenarkan adalah khusus untuk urusan kenderaan perdagangan.

“JPBN hari ini bersetuju untuk menerima pakai arahan yang telah dikeluarkan oleh ibu pejabat JPJ pada 27 April iaitu membenarkan JPJ membuka kaunter bermula 29 April,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong.

Sementara, Uggah berkata pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak pada hari ini adalah sebanyak 97 peratus.

Katanya semalam, polis telah menangkap 56 orang kerana ingkar PKP dan 98 orang telah dituduh di mahkamah.

“Sehingga hari ini, sejak tempoh PKP bermula 18 Mac, sebanyak 1,823 orang telah ditangkap dan 1,157 orang telah dituduh di mahkamah,” katanya.