Sewa boleh, jangan jual!

DARO: Adun Daro Safiee Ahmad menasihatkan penduduk di Daro agar tidak menjual tanah mereka kepada orang luar yang cuba mengambil kesempatan.

Menurutnya, kebanyakan tanah adat NCR milik penduduk kampung yang belum diusahakan kini boleh disewa kepada syarikat besar agar dapat diusahakan.

“Jangan mendengar hasutan daripada pihak luar yang tidak mahu melihat kita di sini membangun.

Kerajaan Sarawak sendiri kini sangat komited memperkasa bidang pertanian seperti dibentangkan dalam Bajet Sarawak 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) siri kelima di Dewan Sri Segalang Kampung Sebena Meradong baru-baru ini.

Safiee menjelaskan, program tersebut penting untuk mendedahkan petani kepada teknologi moden dalam mengusahakan bidang pertanian dan bertepatan sebagai satu usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.

“Kawasan kita ini juga terlibat dalam projek bakul makanan yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Setelah siapnya kemudahan asas jalan raya bagi menghubungkan kawasan ini dengan kawasan bandar, ia akan memudahkan pengusaha pertanian memperluaskan ekonomi mereka.

“Yang pasti kita mahu rakyat mempunyai kesedaran yang tinggi untuk meningkatkan lagi perusahaan pertanian bagi memajukan diri dan ekonomi masing-masing,” tambahnya.

Malah beliau juga mahu penduduk menggunakan bantuan yang diberikan seperti pemberian bantuan alatan, benih, baja dan sebagainya dengan sebaik-baiknya.

“Melalui kementerian yang terlibat juga, kita akan mengadakan sesi dialog di kawasan ini.

“Dengan cara ini, kita akan dapat memajukan tanah milik penduduk yang belum diusahakan kerana ia penting bagi masa depan komuniti di sini.

“Percayalah pertanian ini merupakan bidang yang sangat cerah untuk dimajukan.

“Saya berharap melalui program ini, ia dapat menjadi titik permulaan kepada semua untuk mengusahakan bidang pertanian hingga berjaya,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, 100 peserta dapat melihat sendiri teknik pertanian moden melibatkan fertigasi dan hidroponik yang dibentangkan oleh pegawai Jabatan Pertanian Sarikei dan Pertubuhan Peladang Kawasan Matu Daro.

Turut disampaikan Bantuan Pertanian berjumlah RM431,000 kepada penerima yang layak bagi pembangunan industri nanas, industri buah-buahan tidak bermusim dan program bantuan ladang kontrak.

Suara Sarawak